Fungsi/Aktiviti Koperasi

0

Written on 8:49 PM by KOWAJA

Kewangan

Koperasi fungsi kewangan dan bank telah mempelopori perkembangan gerakan koperasi dalam sejak tahun 20an. Koperasi fungsi ini menjalankan aktiviti kewangan iaitu menyediakan pinjaman kepada anggota pada kadar faedah yang berpatutan. Aktiviti lain di bawah fungsi ini ialah pajak gadai Ar-Rahnu, pelaburan dan perkhidmatan insuran. Anggota-anggotanya adalah terdiri daripada mereka yang bergaji tetap terutamanya di sektor awam, badan berkanun dan swasta.

Pada masa ini 2 buah koperasi yang khusus menjalankan fungsi perbankan iaitu Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad dan Bank Persatuan Malaysia Berhad.


Perumahan

Tumpuan koperasi jenis ini ialah menjalankan projek-projek perumahan untuk anggotanya. Kebanyakkan projek tertumpu kepada rumah kos rendah dan sederhana. Harga jualan rumah-rumah adalah dalam lingkungan keupayaan anggota dan pada umumnya sekitar 20% hingga 30% lebih rendah daripada harga lazim di pasaran.


Pengguna

Tujuan utama koperasi fungsi pengguna adalah untuk membantu anggota mereka mendapatkan barangan yang berkualiti pada harga yang berpatutan. Antara aktiviti yang dijalankan oleh koperasi pengguna adalah seperti pasar mini, pasaraya, kedai runcit. stesen minyak, kedai alatan rumah dan lain-lain.

Koperasi fungsi pengguna diperingkat sekolah pula diperkenalkan dengan tujuan untuk menanam sifat berjimat-cermat dan membangunkan kemahiran keusahawanan dikalangan pelajar. Antara utama yang dijalankan ialah mengusahakan kantin sekolah, kedai buku, kedai dobi dan kelas komputer.


Pengangkutan

Sebahagian besar koperasi fungsi pengangkutan adalah terdiri daripada koperasi di rancangan pembangunan tanah seperti FELDA, RISDA dan FELCRA yang menjalankan aktiviti mengangkut hasil pertanian ke kilang pemprosesan. Selain daripada koperasi peserta rancangan, koperasi lain yang menjalankan fungsi pegangkutan adalah seperti koperasi pengusaha teksi, pengusaha bas dan lori.


Perladangan

Koperasi yang didaftarkan di bawah fungsi perladangan menjalankan aktiviti pembangunan dan pengurusan tanah pertanian. Antara tanaman utama yang diusahakan oleh koperasi jenis ini ialah getah, kelapa sawit, nanas, koko dan sayuran.


Perindustrian

Sebahagian besar koperasi fungsi perindustrian adalah terdiri daripada koperasi yang menjalankan kegiatan industri kecil yang lebih dikenali sebagai Koperasi Industri Kampong (KIK). KIK ditubuhkan bertujuan mengumpulkan sumber-sumber untuk mengeluar, memasar dan menghasilkan kraftangan seperti barangan anyaman, tembikar, perak dan perabut.


Pembinaan

Koperasi fungsi pembinaan menjalankan aktiviti yang berkaitan dengan kerja pembinaan infrastruktur seperti pembinaan jambatan kecil, jalan-jalan dan kerja penyelenggaraan umum. Antara koperasi yang terlibat dengan kegiatan pembinaan ialah Koperasi Pembangunan Daerah (KPD), koperasi dirancangan FELDA, FELCRA dan RISDA.


Perkhidmatan

Koperasi fungsi perkhidmatan adalah merupakan lain-lain koperasi yang melibatkan aktviti dan kegiatan selain daripada aktiviti yang berkaitan dengan fungsi kewangan, pengguna, perladangan, pengangkutan, perindustrian, pembinaan dan perumahan. Antara perkhidmatan yang dijalankan oleh koperasi fungsi ini ialah pengurusan dana, penyelenggaraan bangunan dan kawasan perumahan, sewaan bangunan/lot-lot gerai, pusat asuhan kanak-kanak, kelas komputer, pusat pembayaran bil dan seumpamanya.

If you enjoyed this post Subscribe to our feed

No Comment

Post a Comment